Isnin, 16 April 2018

Penggodam Russia curi rahsia siber Amerika Syarikat dari NSA



Penggodam dari Russia didapati telah mencuri rahsia sulit siber Amerika Syarikat pada tahun 2015 dari Agensi Keselamatan Kebangsaan (National Security Agency, NSA) Amerika Syarikat. Berdasarkan dari dua laporan media AS, ia berlaku setelah seorang pekerja menempatkan maklumat berkenaan ke dalam komputer miliknya di rumah.
Mengikut laporan dari The Washington Post, pekerja berkenaan bekerja di bawah Unit Tailored Access Operations di NSA sebelum dipecat pada 2015. Unit tersebut merupakan unit khas untuk penggodam-penggodam elite.

Pihak NSA enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana dasar agensi yang tidak akan memberikan sebarang kenyataan mengenai kakitangannya dan juga pihak yang bekerjasama dengan agensi. Oleh yang demikian, berita dari media-media AS ini tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Jika ianya didapati benar, pembocoran maklumat ini merupakan yang paling terkini berlaku terhadap agensi berkenaan. Pembocoran maklumat besar-besaran pernah berlaku pada NSA ketika tahun 2013 yang dilakukan oleh Edward Snowden.
Seorang lagi pekerja, Harold Martin sedang menanti perbicaraan atas dakwaan membawa balik dokumen sulit NSA ke rumah. Bagaimanapun, The Washington Post menyatakan Harold Martin tidak terlibat di dalam kebocoran maklumat yang terbaru ini.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat sedang dalam keadaan berjaga-jaga terhadap ancaman serangan siber terutamanya dari Russia. Agensi pilihanraya negeri dan komputer-komputer Parti Demokrat merupakan di antara yang didakwa pernah menjadi sasaran ancaman siber dari Russia.
Laman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan